KUCHING, 22 Feb - Jenazah Allahyarham mantan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud selamat dikebumikan dalam istiadat pengebumian Negeri di tanah perkuburan keluarga di Demak Jaya di sini hari ini.
Keranda jenazah Allahyarham yang ditutupi bendera negeri dan diusung oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia tiba di tanah perkuburan itu pada kira-kira jam 12 tengah hari.
KDYMM Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Putera Abdul Mateen Bolkiah turut hadir menyertai solat jenazah dan upacara pengebumian tersebut.
Isteri Allahyarham, Toh Puan Ragad Kurdi Taib dan ahli keluarganya serta sanak saudara turut berada di tanah perkuburan itu.
Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah kembali ke Rahmatullah kira-kira jam 4.40 semalam di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) pada usia 87 tahun.
Menteri-menteri persekutuan dan negeri, ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri, pemimpin-pemimpin masyarakat, persatuan, badan bukan kerajaan turut hadir di upacara pengebumian tersebut.
Setelah bacaan Talkin, ketua pasukan pengusung kemudian menyerahkan bendera Sarawak sebagai penghormatan tertinggi kerajaan negeri dan rakyat kepada kepada Toh Puan Ragad Kurdi Taib.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah dibawa ke Atrium Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 8.30 pagi tadi bagi memberi peluang orang kenamaan dan orang ramai memberi penghormatan terakhir.
Setelah itu, solat jenazah diadakan di Masjid Demak Sarawak selepas solat fardu Zohor sebelum dikebumikan di tanah perkuburan.